MAIPk Sumbang 28 Unit Komputer Riba kepada Pelajar Kurang Berkemampuan SMK Kampong Pasir Puteh
MERU, 19 Julai 2025 – Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) terus komited menyokong kecemerlangan pendidikan dalam kalangan pelajar asnaf melalui sumbangan kemudahan teknologi pendidikan.
Bertempat di Hotel Casuarina @ Meru, telah berlangsung Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang SMK Kampong Pasir Puteh, yang turut menyaksikan penyampaian sumbangan sebanyak 28 unit komputer riba bernilai RM49,000 kepada pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan bagi membantu kelangsungan pembelajaran mereka.
Sumbangan telah disampaikan oleh Pengurus Besar Bahagian Agihan Zakat MAIPk, Suhaimi bin Yusoff. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MAIPk dalam memperkasa pendidikan anak-anak asnaf serta memastikan mereka tidak tercicir daripada sistem pendidikan akibat kekangan kemudahan asas.





