• 26
    Soalan Lazim
  • 26
    Hubungi Kami
  • 26
    Aduan & Maklum Balas
  • 26
    Peta Laman
  • 26
    Soal Selidik
  • Utama
  • Perutusan KPE
  • Perutusan Ketua Pegawai Eksekutif

Perutusan Ketua Pegawai Eksekutif

PERUTUSAN KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF


 
Segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah S.W.T, Tuhan sekalian alam, atas segala limpah kurnia-Nya kita terus diberi nikmat iman dan kesihatan untuk meneruskan khidmat kepada agama dan ummah di negeri Perak.

Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pengunjung yang sudi melayari Laman Web Rasmi Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) yang merupakan salah satu wadah untuk berkongsi maklumat, aktiviti dan program yang dilaksanakan oleh pihak MAIPk.

MAIPk merupakan sebuah Badan Berkanun Negeri yang telah diberi amanah untuk memartabatkan institusi zakat, mentadbir harta baitulmal dan wakaf, serta menjana kualiti perkhidmatan, budaya kerja cemerlang dan pengurusan yang sistematik.

Selaras dengan tanggungjawab ini, MAIPk menyediakan pelbagai jenis skim dan bantuan untuk menjamin keadilan sosial, mengangkat martabat golongan yang memerlukan serta merapatkan jurang antara golongan kaya dan miskin.

Seiring dengan usia penubuhannya yang telah menjangkau 78 tahun (1369H-1447H), MAIPk kini berada pada fasa mentransformasikan organisasi dan sedang melangkah ke satu fasa baharu dalam usaha memperkasa pengurusan zakat dan wakaf tunai. Sudah tiba masanya untuk pentadbiran zakat di negeri Perak diangkat ke tahap lebih tinggi, dipermodenkan dan ditadbir urus lebih sistematik serta efisien.

Melalui hala tuju strategik ini, fungsi-fungsi utama MAIPk sedang di transformasi melalui pendekatan baharu yang lebih responsif dan sistematik. Transformasi bertujuan untuk membina sebuah organisasi yang berkeupayaan tinggi dalam mendepani cabaran semasa serta merangka penyelesaian strategik dalam isu-isu berkaitan pentadbiran hal ehwal Islam dan pembangunan Islam di negeri Perak.

Transformasi ini ke arah melakukan ‘islah’ dari sudut struktur, budaya, kaedah kerja dan kecemerlangan penyampaian. Hal ini telah bermula dengan penubuhan Zakat Perak Al Ridzuan (ZAPAR) yang baharu dilancarkan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 26 Jun 2025. ZAPAR telah menjadi sebuah entiti korporat milik penuh MAIPk bagi memperkasa sistem pungutan zakat dan wakaf tunai dengan pendekatan lebih profesional, efisien dan berteraskan digitalisasi selaras dengan keperluan semasa dan harapan masyarakat.

Transformasi MAIPk tidak akan berhenti di situ sahaja, malah akan terus komited dalam memacu kecemerlangan pengurusan sosial ummah menerusi agihan zakat, keberkesanan penjanaan hasil sumber semasa bagi menjamin pengembangan dan kelestarian wakaf, serta memperkukuh baitulmal dengan mempertingkatkan nilai-nilai ketelusan, tatakelola dan integriti dalam semua aspek tadbir urus yang dilaksanakan. Ianya berpaksikan kepada optik pengurusan terbaik, penyampaian berinovasi dan aplikasi digital berprestasi tinggi bagi meningkatkan kepuasan pelanggan serta pemegang taruh.

Sebagai individu yang telah diamanahkan untuk memikul tanggungjawab Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, saya beriltizam untuk memastikan perancangan dan pelaksanaan MAIPk berjalan mengikut hala tuju yang digariskan dapat dilaksanakan dengan berkesan, teratur dan menepati matlamat yang telah ditetapkan.

Adalah menjadi harapan saya agar laman web rasmi ini dapat memberi panduan yang berguna kepada semua pengunjung dari dalam dan luar negara bagi memperoleh maklumat yang diperlukan dengan segera, relevan dan efisien.

Di samping itu, MAIPk juga sentiasa terbuka menerima cadangan, pandangan serta kerjasama strategik daripada semua pihak demi kelangsungan pembangunan ummah yang holistik.

Akhir kata, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua yang sudi melayari laman web ini serta terus menzahirkan sokongan dan kepercayaan terhadap MAIPk dalam memperkasa institusi agama Islam, memartabatkan adat Melayu serta meningkatkan kesejahteraan ummah di negeri Perak.

Selamat melayari Portal Rasmi MAIPk.

Sekian, terima kasih.


SYAMSUL HAZEMAN BIN MD SALLEH, PMP., AMP.
Ketua Pegawai Eksekutif
Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak
.
.
.
.
.
.
.
.
.
Kod QR
Scan Kod QR pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.
Kod QR Borang Bantuan
Scan Kod QR Borang Bantuan pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.
Kod QR Borang Aduan Awam
Scan Kod QR Borang Aduan Awam pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.