RM5.5 JUTA DIPERUNTUKKAN UNTUK PERKASA USAHAWAN ASNAF
IPOH, 5 Ogos 2025 – Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) terus komited dalam memperkasa golongan asnaf melalui penganjuran Majlis Penyerahan Kelengkapan Perniagaan Usahawan Program Pemerkasaan Asnaf (PROPER A) Tahun 2025 yang berlangsung di Galasa Vetro Hall, Ipoh.
Majlis ini telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman bin Md Salleh, sebagai simbolik komitmen MAIPk dalam memperkukuh agenda pembangunan sosioekonomi asnaf di negeri Perak.
Pada tahun ini, MAIPk memperuntukkan sebanyak RM5.5 juta bagi pelaksanaan program keusahawanan yang dirancang secara strategik bagi memastikan impak maksimum kepada para peserta.
Program PROPER A 2025 mengetengahkan pendekatan lebih dinamik merangkumi empat bidang utama pembangunan usahawan, membabitkan seramai 70 peserta dalam bidang seperti baik pulih telefon pintar secara bergerak,
gunting rambut bergerak, francais minuman kopi dan francais Roti Kaya Junus.
Bagi konsep perniagaan bergerak, peserta menerima motosikal lengkap bersama kit perniagaan, manakala peserta francais menerima sokongan menyeluruh daripada jenama francais yang diyakini, sekali gus memudahkan urusan operasi dan pemasaran.
Langkah ini merupakan antara inisiatif inklusif MAIPk dalam memastikan golongan asnaf bukan sahaja menerima bantuan, malah mampu berdikari serta menyumbang kembali kepada pembangunan ekonomi ummah.







