MAIPk ZON UTARA ZIARAH PELAJAR MANGSA KEMALANGAN JALAN RAYA
BAGAN SERAI, 18 Januari 2026 – Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) Zon Utara telah menziarahi serta menyampaikan bantuan kecemasan tunai kepada waris seorang pelajar yang menjadi mangsa kemalangan jalan raya di Taman Serai Jaya, Bagan Serai, yang berlaku pada 14 Januari 2026.
Dalam insiden tersebut, Nur Aqillah Raudhah binti Azlan, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Kurau, yang menunggang motosikal dalam perjalanan ke sekolah dilaporkan bertembung dengan sebuah lagi motosikal, mengakibatkan beliau mengalami kecederaan serius di bahagian muka. Mangsa dijadualkan menjalani pembedahan implan pemasangan plat titanium pada 20 Januari 2026 di Klinik Bedah Mulut dan Maksilofasial (OMFS), Hospital Taiping.
Bantuan telah disampaikan oleh Pengurus Besar MAIPk Zon Utara, Mohd. Saufi bin Ibrahim, bagi meringankan beban dan kesukaran yang ditanggung oleh mangsa serta keluarganya.







