• 26
    Soalan Lazim
  • 26
    Hubungi Kami
  • 26
    Aduan & Maklum Balas
  • 26
    Peta Laman
  • 26
    Soal Selidik
  • Utama
  • Info
  • Berita MAIPk
  • MAIPk TELUK INTAN SALUR BANTUAN PERUBATAN BERJUMLAH RM23 RIBU KEPADA DUA MANGSA KEMALANGAN

MAIPk TELUK INTAN SALUR BANTUAN PERUBATAN BERJUMLAH RM23 RIBU KEPADA DUA MANGSA KEMALANGAN

TELUK INTAN, 7 Julai 2026 – Dahulu mencari rezeki sebagai penghantar barang demi menyara kehidupan, namun takdir Allah SWT mengubah segalanya. Sejak mengalami kemalangan pada Oktober 2025, Encik Mohd Alif, 38 tahun, terpaksa meninggalkan pekerjaan yang menjadi punca pendapatan keluarganya.

Akibat kemalangan tersebut, beliau mengalami masalah darah beku pada bahagian otak yang menjejaskan daya ingatan serta menyebabkan beliau tidak lagi mampu menguruskan diri. Kini, segala keperluan harian beliau diuruskan sepenuh masa oleh ibunya yang setia menjadi tempat bergantung dalam menghadapi ujian ini.

Prihatin terhadap kesukaran yang dihadapi, Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) telah menyalurkan Bantuan Perubatan berjumlah RM7,382.00 bagi memenuhi keperluan penjagaan dan rawatan beliau. Bantuan yang disalurkan merangkumi lampin pakai buang jenis sarung, susu formula Nestlé Nutren Optimum serta sebuah kerusi roda.

Penerima Bantuan Perubatan kedua ialah Encik Nurhakimi, 20 tahun. Sejak November 2025, kehidupan beliau berubah sekelip mata apabila terlibat dalam satu kemalangan yang mengakibatkan beliau mengalami kecederaan serius. Akibat insiden tersebut, beliau mengalami patah tulang pada bahagian dada sehingga ke muka dan kini hanya mampu terlantar, selain tidak lagi berupaya menguruskan diri serta berinteraksi seperti biasa.

Keadaan ini bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan beliau, malah turut menguji ketabahan ahli keluarga yang menjadi penjaga sepenuh masa dalam menguruskan keperluan harian dan kos rawatan yang semakin meningkat. Prihatin dengan ujian yang dihadapi, MAIPk telah menyalurkan Bantuan Perubatan berjumlah RM15,728.50 bagi menampung keperluan perubatan seperti lampin pakai buang, susu formula khas dan ubat-ubatan.

Bantuan tersebut telah disampaikan oleh Pengurus Besar MAIPk Zon Barat, Encik Mohd Latiff bin Talib. Penyaluran bantuan ini mencerminkan komitmen dalam memastikan kebajikan asnaf yang memerlukan sentiasa diberi perhatian dan pembelaan agar mereka dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik.

Semoga bantuan yang disalurkan ini dapat meringankan beban yang dipikul oleh keluarga serta membantu memenuhi keperluan penjagaan dan rawatan Encik Mohd Alif dan Encik Nurhakimi. Pihak MAIPk mendoakan agar Allah SWT mengurniakan kesembuhan, kekuatan dan ketabahan kepada mereka berdua serta seluruh ahli keluarganya dalam menempuh ujian ini.

MAIPk turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pembayar zakat Negeri Perak atas kepercayaan dan sokongan yang berterusan. Hasil zakat yang ditunaikan membolehkan bantuan disalurkan kepada golongan asnaf yang memerlukan. Semoga Allah SWT memberkati setiap rezeki yang dikurniakan dan membalas setiap kebaikan dengan ganjaran yang terbaik.


.
.
.
.
.
.
.
.
.
Kod QR
Scan Kod QR pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.
Kod QR Borang Bantuan
Scan Kod QR Borang Bantuan pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.
Kod QR Borang Aduan Awam
Scan Kod QR Borang Aduan Awam pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.