PELUNCURAN BUKU LAPORAN EKSEKUTIF IMPAK KELESTARIAN SOSIAL 2023
IPOH, 20 Disember 2024 – Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) telah menerbitkan buku Laporan Eksekutif Impak Kelestarian Sosial. Laporan diterbitkan bagi menilai impak sosial yang diterima oleh para asnaf dibawah program bantuan zakat yang dijalankan MAIPk pada tahun 2023.
Peluncuran buku ini disempurnakan oleh Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, YAB. Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, diiringi Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Dato’Seri Mohd Annuar bin Zaini, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan,YB. Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Tuan Syamsul Hazeman bin Md Salleh sempena persidangan Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak kali ke 230.
Laporan ini memfokuskan 3 perkara iaitu mengenal pasti jenis program dan skim agihan zakat yang diterima oleh asnaf berdasarkan pengukuran Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), menganalisa impak kelestarian sosial mustahik (penerima zakat) melalui MAIPk dengan padanan SDG dan Maqasid Al-Syariah dan merumuskan impak dan kelangsungan mencapai kemaslahatan penerima zakat dari sudut kesejateraan hidup meliputi makanan, perlindungan, pendidikan, kesihatan serta ibadah.
Hal ini sebagai langkah penting ke arah menggalakkan tatakelola yang baik dalam pengurusan agihan zakat. MAIPk akan terus komited dengan peningkatan prestasi kutipan dan agihan zakat dalam negeri Perak serta memastikan penyesuaian perubahan dinamik agar dapat terus releven sebagai institusi pembangunan sosioekonomi ummah sepanjang zaman. Buku laporan ini boleh dimuat turun di pautan portal MAIPk Laporan Eksekutif Impak Kelestarian Sosial 2023