MAIPk LANCAR PROGRAM USAHAWAN PAYUNG ASNAF (UPAYA) TAHUN 2025
IPOH, 5 Ogos 2025 – Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) terus komited memperkasa golongan asnaf melalui inisiatif terbaharunya iaitu Program Usahawan Payung Asnaf (UPAYA) yang dilancarkan pada hari ini.
Majlis pelancaran ini telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman bin Md Salleh. Program UPAYA diperkenalkan khusus bagi membantu 60 peserta asnaf menjalankan aktiviti perniagaan dalam bidang makanan. Setiap peserta akan menerima bantuan menyeluruh merangkumi peralatan perniagaan, latihan intensif, sesi pemantauan dan bimbingan berterusan.
Inisiatif ini menyasarkan golongan peniaga kecil yang sedang berusaha keluar daripada belenggu pendapatan rendah, dengan harapan mereka mampu menjana pendapatan lebih stabil bagi menampung keperluan keluarga.
MAIPk berharap agar segala bentuk bantuan yang disalurkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para peserta. Program ini bukan sekadar memberi peluang berniaga, malah bertujuan mencetuskan perubahan menyeluruh dalam kehidupan peserta, agar mereka bukan hanya kekal sebagai penerima zakat, tetapi mampu menjadi penyumbang zakat dan ikon kejayaan kepada asnaf lain di masa hadapan.
Pelaksanaan program seperti UPAYA dan PROPER A merupakan antara usaha berterusan MAIPk dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan asnaf secara menyeluruh di negeri Perak.







