MAIPk SERI ISKANDAR SERAH BANTUAN BINA RUMAH KEPADA DUA PENERIMA ASNAF
BELANJA, 10 Oktober 2025 – Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) melalui Cawangan Seri Iskandar telah menyerahkan bantuan bina rumah baharu kepada dua penerima asnaf di Daerah Perak Tengah. Jumlah keseluruhan bantuan yang disalurkan bagi kedua-dua rumah ini ialah RM159,000.00.
Majlis penyerahan rumah berkenaan telah disempurnakan oleh Pemangku Orang Besar Jajahan Perak Tengah, YDH Toh Seri Bijaya Lt. Kol (B) Dato’ Shaharudin bin Hj. Nazari, diiringi oleh Pengurus Cawangan MAIPk Seri Iskandar, Ahmad Fadzil bin Mustafa. Turut hadir, Penghulu Kanan Mukim Belanja, Ekmal Hidhir bin Mohamed Mokhtar, bersama pegawai-pegawai MAIPk serta wakil masyarakat setempat.
Program ini melambangkan keprihatinan dan komitmen MAIPk dalam memastikan setiap lapisan asnaf menikmati kediaman yang lebih sempurna, selesa dan selamat didiami. Ia juga menjadi sebahagian daripada usaha berterusan MAIPk untuk meningkatkan kesejahteraan hidup umat Islam di negeri Perak melalui pengurusan zakat yang efisien dan berimpak.





