LEBIH RM56,000 BANTUAN DISALURKAN, MAIPk SANTUNI ASNAF MISKIN, WARGA EMAS & OKU DI KUALA KANGSAR
KUALA KANGSAR, 7 Ogos 2025 – Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) menerusi Program Ziarah Asnaf terus menzahirkan komitmen dalam menyantuni golongan asnaf yang memerlukan melalui penyaluran pelbagai bentuk bantuan demi meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan mereka.
Turut bersama dalam program ini ialah Ketua Pegawai Operasi MAIPk, Wan Maizura binti Wan Zahari; Pengurus Besar Bahagian Agihan Zakat, Suhaimi bin Yusoff; Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Strategik, Sekretariat dan Adat Melayu, Munawir bin Mohamad Noh; serta Pengurus Besar Zon Timur, Zul-Azri bin Hosaini.
Program ini memfokuskan lawatan ke kediaman lima penerima bantuan di sekitar daerah Kuala Kangsar yang terdiri daripada golongan asnaf miskin, warga emas dan individu berkeperluan khas (OKU). Setiap kunjungan bukan sahaja bertujuan menyampaikan sumbangan, bahkan memberikan sokongan moral serta memastikan kebajikan para asnaf terus terbela.
Jumlah keseluruhan bantuan yang disalurkan dalam program ini mencecah RM56,445.50. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM35,000.00 diperuntukkan bagi bantuan bina rumah, RM7,500.00 bagi bantuan modal berupa mesin pemproses dodol, manakala selebihnya merangkumi pembekalan keperluan perubatan seperti lampin pakai buang, susu khas dan ubat-ubatan.
Program ini mencerminkan usaha berterusan MAIPk dalam memperkasa ekonomi golongan asnaf dan memastikan tiada kelompok yang terpinggir daripada menerima perhatian dan bantuan yang sewajarnya. MAIPk akan terus mempergiat pelaksanaan pelbagai inisiatif kebajikan agar manfaat zakat dapat diagihkan secara adil, menyeluruh dan berimpak tinggi kepada mereka yang benar-benar memerlukan.









