MAIPk TERUS BANTU PESAKIT TERLANTAR MELALUI SKIM BANTUAN PERUBATAN
KUALA KANGSAR, 10 Oktober 2025 – Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) Cawangan Kuala Kangsar terus memperkukuh usaha membantu golongan asnaf yang diuji dengan masalah kesihatan melalui Skim Bantuan Perubatan MAIPk.
Penerima bantuan merupakan pesakit terlantar akibat kecederaan otak kritikal selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada tahun 2023. Bantuan diserahkan oleh Pengurus Besar Zon Timur, Zul-Azri bin Hosaini kepada keluarga penerima di Taman Harmoni, Kuala Kangsar.
Pembekalan bantuan perubatan selama enam bulan yang berjumlah RM16,198.00 ini meliputi pelbagai keperluan seperti susu nutrisi khas, lampin pakai buang, mesin sedut kahak, kerusi roda, tilam anti-luka baring dan peralatan pernafasan.
Bantuan ini membuktikan kesungguhan MAIPk dalam menyalurkan hasil zakat kepada golongan yang benar-benar memerlukan, khususnya pesakit kronik dan terlantar. Semoga bantuan ini sedikit sebanyak meringankan beban keluarga serta memberi keselesaan kepada pesakit untuk meneruskan rawatan dan penjagaan harian.



