MAJLIS PENYERAHAN ZAKAT DAN BERBUKA PUASA BERSAMA DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN
KUALA KANGSAR, 28 Februari 2026 - Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan menerima bayaran zakat berjumlah RM5,417,188.56 yang terdiri daripada lapan syarikat korporat dan dua individu kepada Zakat Perak Al Ridzuan (ZAPAR) di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak.
Sesi penyerahan zakat didahului dengan zakat pendapatan oleh YBhg. Dato’ Abdullah bin Abdul Mannan sebanyak RM1,000,000.00. Ia diikuti, penyerahan zakat perniagaan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad diwakili oleh Presiden ANGKASA, YBhg. Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berjumlah RM364,852.56.
Seterusnya, Belati diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Johawaki, YBrs. Encik Mohamad Akmal bin Dato’ Johari sebanyak RM380,000.00 dan Boustead Plantations Berhad diwakili oleh Pengarah Urusan, YBhg. Datuk Zulkarnain Md Eusope berjumlah RM434,000.00.
Kemudian, CelcomDigi Berhad, diwakili oleh Head of Region, Northern Region YBrs. Encik Farizad Khan bin Msm Mohamed Ali sebanyak RM107,000.00 serta Johawaki Plantation Sdn. Bhd. diwakili oleh Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan Johawaki, YBrs. Encik Abdul Hadi bin Dato’ Abdul Rahim berjumlah RM150,800.00.
Selanjutnya, penyerahan zakat perniagaan Lembaga Jurukur Tanah Malaysia diwakili oleh Setiausaha Lembaga, YBrs. Encik Mohd Riza bin Halim sebanyak RM250,000.00. Selain itu, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional diwakili oleh Ketua Pegawai Operasi, YBrs. Puan Mastura binti Mohd Khalid berjumlah RM200,000.00.
Sementara itu, YBhg. Dato’ Syed Abu Hussin bin Hafiz Syed Abdul Fasal menyerahkan zakat pendapatan sebanyak RM2,300,000.00. Sesi penyerahan zakat perniagaan diakhiri TM Technology Services Sdn Bhd diwakili oleh Pengurus Besar Rangkaian TM Negeri Perak, YBrs. Tuan Haji Sallehuddin bin Khalif berjumlah RM230,536.00.
Dalam majlis sama, baginda berkenan menyerahkan zakat kepada Yang Dipertua, Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak, YABhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd. Annuar bin Zaini.
Zakat adalah manifestasi ketaatan kepada perintah Allah SWT bagi menyucikan harta dan jiwa, di samping mengukuhkan ukhuwah Islamiah. ZAPAR akan terus komited menguruskan hasil kutipan zakat terutama untuk menyumbang kepada kestabilan sosial, memperkukuh tadbir urus Islam serta melengkapi usaha pembangunan sosioekonomi negeri secara menyeluruh.












