MAJLIS PELUNCURAN AWAL APLIKASI MAIPk BESTARI
IPOH, 27 Februari – Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) terus mengorak langkah dalam inovasi digital dengan melancarkan aplikasi MAIPk BESTARI, sebuah platform moden yang merevolusikan sistem kutipan zakat fitrah. Majlis Peluncuran Awal Aplikasi MAIPk BESTARI ini telah disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad.
Seramai 1,938 amil di seluruh negeri Perak akan menggunakan aplikasi ini bagi memudahkan kutipan zakat fitrah. Setiap bayaran akan dikreditkan terus ke akaun rasmi MAIPk, manakala resit zakat akan dihantar secara automatik ke e-mel pembayar. Inisiatif ini memastikan proses pembayaran zakat lebih pantas, moden, dan sistematik.
Selain zakat fitrah, sistem ini turut memudahkan pembayar untuk menyertai program wakaf yang menarik, hanya dengan serendah RM1. Pendekatan digital ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan kutipan zakat, malah memastikan prosesnya lebih telus, selamat, dan mudah diakses oleh semua.
Hadir sama Yang Dipertua MAIPk, YABhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd. Annuar bin Zaini, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, YB Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin, Pegawai Kewangan Negeri Perak, YB Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Tuan Syamsul Hazeman bin Md Salleh.
MAIPk terus proaktif selari dengan inisiatif negeri-negeri lain dalam memperkenalkan sistem pembayaran zakat tanpa tunai, memastikan pengalaman berzakat menjadi lebih mudah, lancar, dan diyakini oleh para pembayar zakat.







